• Utama
  • Tentang Kami
  • Servis
  • Artikel
  • Hubungi kami
  • Utama
  • Tentang Kami
  • Servis
  • Artikel
  • Hubungi kami
  • By: MFH Shariah
  • Comments (0)
  • November 10, 2024

by ashrafmisran@gmail.com | Mar 3, 2023 | Artikel | 0 comments

Dari segi bahasa, perkataan fasakh diertikan sebagai ‘batal’ ataupun ‘bubar’. Apabila kalimah ini disandarkan kepada pernikahan, ia disebut fasakh al-nikah yang membawa maksud ‘membatalkan atau membubarkan ikatan pernikahan antara suami dengan isterinya kerana sebab-sebab tertentu yang menghalang kekalnya perkahwinan tersebut.

Pada dasarnya, peruntukan perceraian secara fasakh tidak dinyatakan secara jelas di dalam al-Quran. Namun begitu, prinsip tentang keharusannya boleh dilihat di dalam ayat 34 dan 35 daripada Surah al-Nisa’ yang mana Allah swt menunjukkan  jalan agar para suami memgambil tindakan untuk memperbaiki keadaan rumah tangga mereka jika isteri melakukan perkara yang tidak menepati hukum syarak.

Firman Allah swt:

“Wanita-wanita yang kamu khuatiri nusyuznya maka nasihatilah mereka dan pisahkan diri dari tempat tidur mereka, dan pukullah mereka, kemudian jika mereka mentaatimu maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkannya. Dan jika kamu khuatirkan ada perbalahan antara keduanya, maka kirimlah hakam dari keluarga lelaki dan hakam dari keluarga perempuan. Jika keduanya bermaksud mengadakan pembaikan, nescaya Allah memberi taufiq kepada suami isteri itu”

Walaupun ayat di atas tidak menyebut secara langsung tentang peruntukan fasakh, tetapi para ulama telah membahaskan serta menghujahkan bahawa ayat tersebut telah menyentuh secara tidak langsung tentang keharusan pelaksanaan fasakh di dalam urusan perkahwinan umat Islam. Keharusan fasakh ini juga didasarkan kepada larangan melakukan kemudaratan seperti mana sabda Rasulullah saw iaitu:

“Tidak boleh memudaratkan dan tidak boleh dimudaratkan”

Menurut al-Suyuti dan Ibn Nujaym, menerusi hadis ini Rasulullah saw telah menyentuh tentang larangan membawa mudarat atau melakukan darar ke atas orang lain dan juga larangan membiarkan kemudaratan berlaku. Hadis di atas telah menjadi dasar kepada satu kaedah fiqh yang lain iaitu “Kemudaratan hendaklah dihilangkan”.

Dari segi pengamalan fasakh, diriwayatkan bahawa Rasulullah saw pernah memfasakhkan seorang wanita yang dikahwininya atas alasan wanita tersebut mempunyai keaiban. Sedangkan keaiban itu telah sedia wujud sebelum akad dan ia tidak dimaklumkan kepada Baginda sebelum perkahwinan berlangsung. Zaid bin Kaad meriwayatkan:

“Sesungguhnya Rasulullah saw telah berkahwin dengan seorang perempuan dari Bani Ghaffar. Apabila Rasulullah ingin mendatanginya didapati di belakang perempuan tersebut terdapat sopak. Rasulullah telah bangun daripada katil dan berkata, ‘Pakailah bajumu dan kembalilah kepada keluargamu’. Dan Baginda tidak mengambil kembali mahar yang diberikan kepadanya”. (Riwayat Ahmad)

UNDANG-UNDANG AMALAN FASAKH DI MALAYSIA

Sejajar dengan tuntutan syarak, perundangan di Malaysia, antaranya di dalam Seksyen 53 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 telah menggariskan alasan-alasan yang dibenarkan bagi Tuntutan Fasakh, iaitu:

Seksyen 53. Perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh

  1. Seseorang perempuan atau lelaki, mengikut mana-mana yang berkenaan, berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak mendapat suatu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh atas satu atau lebih daripada alasan-alasan yang berikut, iaitu—
  2. bahawa tempat di mana beradanya suami atau isteri telah tidak diketahui selama tempoh lebih daripada satu tahun;
  3. bahawa suami telah cuai atau telah tidak mengadakan peruntukan bagi nafkahnya selama tempoh tiga bulan;
  4. bahawa suami atau isteri telah dihukum penjara selama tempoh tiga tahun atau lebih;
  5. bahawa suami atau isteri telah tidak menunaikan, tanpa sebab yang munasabah, kewajipan perkahwinannya (nafkah batin) selama tempoh satu tahun;
  6. bahawa suami telah mati pucuk pada masa perkahwinan dan masih lagi sedemikian dan isteri tidak tahu pada masa perkahwinan bahawa suami telah mati pucuk;
  7. bahawa suami atau isteri telah gila selama tempoh dua tahun atau sedang mengidap penyakit kusta atau vitiligo atau sedang mengidap penyakit kelamin dalam keadaan boleh berjangkit;
  8. bahawa isteri, setelah dikahwinkan oleh wali Mujbirnya sebelum ia mencapai umur baligh, menolak perkahwinan itu sebelum mencapai umur lapan belas tahun, dan ia belum disetubuhi oleh suaminya itu;
  9. bahawa suami atau isteri menganiayai isteri atau suaminya iaitu, antara lain—
  10. lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya;
  11. berkawan dengan perempuan-perempuan atau lelaki jahat atau hidup berperangai keji mengikut pandangan Hukum Syarak;
  12. cuba memaksa isteri hidup secara lucah;
  13. melupuskan harta isteri atau suami atau melarang isteri atau suami itu dari menggunakan hak-haknya di sisi undang-undang terhadap harta itu;
  14. menghalang isteri atau suami dari menunai atau menjalankan kewajipan atau amalan agamanya;
  15. jika suami mempunyai isteri lebih daripada seorang, dia tidak melayani isteri yang berkenaan secara adil mengikut kehendak-kehendak Hukum Syarak;
  16. bahawa walau pun empat bulan berlalu tetapi isteri masih belum disetubuhi oleh kerana suami bersengaja enggan menyetubuhinya;
  17. bahawa isteri tidak izin akan perkahwinan itu atau izinnya tidak sah, sama ada oleh sebab paksaan, kesilapan, ketidaksempurnaan akal, atau hal keadaan lain yang diakui oleh Hukum Syarak;
  18. bahawa pada masa perkahwinan itu isteri, sungguh pun berkebolehan memberi izin yang sah, adalah seorang yang sakit otak, sama ada berterusan atau berselangan, dalam erti Ordinan Sakit Otak 1952 [Ord. 31/52] dan sakit otaknya adalah dari suatu jenis atau setakat yang menjadikannya tidak layak untuk berkahwin; atau
  19.  apa-apa alasan lain yang diiktiraf sebagai sah bagi membubarkan perkahwinan atau bagi fasakh di bawah Hukum Syarak.
  20. Mana-mana orang yang berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak mendapatkan perintah bagi pembubaran perkahwinan atau fasakh atas alasan bahawa isteri atau suami menjadi tak upaya yang menghalang persetubuhan.
  21. Tiada sesuatu perintah boleh dibuat atas alasan dalam perenggan (1)(c) sehingga hukuman itu telah dikemukakan dan suami atau isteri telahpun menjalani satu tahun dari hukuman itu.
  22. Sebelum membuat suatu perintah atas alasan dalam perenggan (1)(e) Mahkamah hendaklah, atas permohonan suami, membuat suatu perintah menghendaki suami memuaskan hati Mahkamah dalam tempoh satu tahun dari tarikh perintah itu bahawa dia tidak lagi mati pucuk, dan jika suami memuaskan hati Mahkamah sedemikian dalam tempoh itu, tiada sesuatu perintah boleh dibuat atas alasan itu.
  23. Tiada sesuatu perintah boleh dibuat atas mana-mana alasan dalam subseksyen (1) jika suami memuaskan hati Mahkamah bahawa isteri, dengan mengetahui bahawa adalah terbuka kepadanya untuk mendapatkan perkahwinan itu ditolak, telah bertingkahlaku terhadap suaminya dengan cara yang menyebabkan suami mempercayai dengan munasabah bahawa isteri tidak akan menolak perkahwinan itu, dan bahawa adalah tidak adil kepada suami jika dibuat perintah itu.

Dalam suatu tuntutan fasakh, beban pembuktian adalah terletak ke atas Pemohon tidak kira sama ada Pemohon tersebut adalah suami ataupun isteri. Setiap dakwaan yang dikemukakan perlulah dibuktikan sehingga meyakinkan Mahkamah kerana di dalam suatu tuntutan fasakh, yang diberi kuasa penuh untuk membubarkan perkahwinan adalah Hakim dan bukannya suami mahupun pihak ketiga yang diberi kuasa seperti Hakam.

Dalam kes Nor Hasmah bt Yusof lwn. Sani bin Basri yang melibatkan tuntutan fasakh atas alasan penderaan fizikal. Isteri sebagai Plaintif tidak mempunyai saksi mata yang melihat kejadian deraan tetapi membawa sua orang saksi perempuan dan seorang lelaki yang pernah melihat kesan lebam di badannya yang didakwa hasil pukulan suami atau Defendan. Plaintif juga telah mengemukakan empat salinan laporan polis yang dibuat selepas Defendan melakukan penderaan keatasnya dalam empat waktu berasingan iaitu memukulnya dengan payung, menolaknya ke dinding, mengganggunya di tempat kerja dan meletakkan seterika panas ke atas badannya. Defendan adalah seorang penagih dadah dan selalu mendera Plaintif. Satu salinan surat Perintah Perlindungan Interim untuk mengelak diri dari di pukul oleh Defendan yang diperolehi dari Mahkamah Majistret pada 23 Ogos 1997 telah dikemukakan. Dalam kes ini, Yang Arif telah menerima keterangan  dua saksi perempuan dan seorang lelaki tersebut dan menerima semua laporan yang ditunjukkan sebagai bayyinah yang kuat. Dalam penghakiman yang diputuskan, Yang Arif telah meluluskan fasakh yang dituntut oleh Plaintif.  

Manakala dalam kes Norlia Abd Malek lwn, Musa b. Alias di mana Mahkamah tidak mensabitkan tuntutan fasakh isteri atas alasan deraan dan nafkah kerana Plaintif gagal mengemukakan sebarang bayyinah sama ada laporan polis atau laporan perubatan. Plaintif telah mengemukakan dua orang saksi perempuan untuk menyokong dakwaannya. Tetapi semasa memberi keterangan, saksi telah memberi keterangan yang berbeza-beza dan menyatakan  mereka tidak mengetahui apa-apa tentang keluarga ini kecuali mendengar cerita yang disampaikan oleh Plaintif. Saksi juga mengatakan mereka tidak pernah melihat sebarang tanda atau kesan pukulan atau lebam di badan Plaintif. Dakwaan Plaintif bahawa beliau didera dan tidak diberi nafkah juga gagal meyakinkan Mahkamah apabila beliau sendiri telah memberi keterangan yang bercanggah. Contohnya pada sesi soal utama, Plaintif mengatakan rumah tangga tidak bahagia dan Defendan gagal memberikannya nafkah selama 20 tahun semenjak mereka berkahwin. Tetapi semasa dalam sesi soal balas, beliau mengatakan tidak memberi nafkah dari tahun 1996 iaitu satu tahun sebelum kes didaftarkan. Dalam kes ini Mahkamah telah tidak mensabitkan fasakh sebagaimana yang dituntut kerana percanggahan keterangan, saksi yang tidak kuat dan tiada sebarang laporan perubatan atau laporan polis untuk diterima sebagai bayyinah.    

Kesimpulannya, pihak yang ingin mengemukakan tuntutan fasakh perlu terlebih dahulu mengenalpasti apakah alasan-alasan permohonan yang ingin dikemukakan di Mahkamah dengan membawa saksi-saksi serta bukti-bukti yang boleh menyokong tuntutan fasakh tersebut secara tepat, benar serta konsisten bagi meyakinkan Mahkamah terhadap kewujudan serta kebenaran segala dakwan-dakwaan yang dikemukakan. 

 

Recent Posts

  • Perceraian Secara Fasakh: Satu Pengenalan
  • Hak Penjagaan Anak Selepas Perceraian
  • Hutang Perkahwinan dalam Konteks Perundangan di Malaysia
  • Mut’ah: Satu Pengenalan
  • Pengesahan Penceraian yang Berlaku di Luar Mahkamah

Recent Comments

No comments to show.

Archives

  • November 2024
  • March 2023
  • April 2022

Categories

  • Artikel

Tetuan Mostadza Fahmi Hafiz & Associates

WhatsApp Hubungi Kami

No 42-2-2A Jalan Medan PB 2B, Seksyen 9, Pusat Bandar Baru Bangi, 43650 Selangor Darul Ehsan

+60192874482

mfhshariah@gmail.com

Waktu pejabat 8.45 pagi - 5.45 ptg (Isnin-Jumaat)