Menurut undang-undang keluarga Islam di Malaysia, lafaz talaq oleh seorang suami kepada isterinya perlu dibuat di hadapan hakim di dalam Mahkamah. Bagaimanapun, kejadian lafaz talaq di luar Mahkamah adalah sesuatu yang sukar dielakkan dan undang-undang juga mengiktiraf lafaz talaq yang dibuat di luar Mahkamah walaupun tidak disebut secara jelas. Oleh kerana itu, seorang suami yang melafazkan talaq di luar Mahkamah boleh membuat permohonan bagi mengesahkan perceraian tersebut dalam masa tujuh hari daripada tarikh lafaz tersebut dibuat. Undang-undang menyebut:
“Seorang suami yang menceraikan isterinya di luar Mahkamah tanpa kebenaran Mahkamah hendaklah dalam masa tujuh hari daripada lafaz itu melaporkan kapada Mahkamah. Mahkamah hendaklah mengadakan siasatan untuk memastikan sama ada talaq yang dilafazkan adalah sah mengikut Hukum Syarak”
Sebelum mengesahkan perceraian yang dibuat di luar Mahkamah, Hakim akan menyiasat secara terperinci sebelum sabitan perceraian dibuat walaupun jika dirujuk kepada Hukum Syarak, pengakuan seorang suami terhadap lafaz talaq tersebut boleh diterima pakai. Kehadiran isteri ke Mahkamah semasa siasatan pengesahan lafaz cerai dibuat di hadapan Hakim adalah amat penting terutamanya jika isteri merupakan saksi utama semasa lafaz itu dibuat. Kehadiran isteri tersebut akan membantu Hakim mendapatkan fakta kes yang sebenar dengan lebih jelas, seterusnya dapat membuat keputusan dengan lebih tepat.
Dalam menjalankan siasatan ke atas suatu lafaz talaq yang dibuat di luar Mahkamah, perkara yang menjadi ukuran dalam pensabitan talaq adalah sama ada lafaz talaq tersebut telah memenuhi rukun talaq atau tidak. Di dalam kitab I’anah Talibin, juzuk 4, halaman 2 menyatakan bahawa:
“Dan adapun rukun talaq itu ada lima iaitu;
- suami,
- lafaz yang digunakan,
- diqasadkan talaq kepada siapa (niat),
- talaq itu ditujukan ataupun isteri,
- dan talaq itu dijatuhkan dengan kekuasaan suami (wilayah)”
Perceraian luar Mahkamah juga boleh membawa kepada masalah dalam menentukan kesahihan lafaz yang dibuat. Secara asasnya, lafaz cerai di sisi Syarak terbahagi kepada dua jenis iaitu lafaz yang jelas (sarih) dan lafaz secara kiasan (kinayah) yang mana lafaz berbentuk kiasan ini memerlukan penilaian kepada niat suami semasa melafazkannya sama ada dengan niat menceraikan istei atau tidak.
Isu tentang lafaz talaq telah dibangkitkan di Mahkamah Syariah dalam kes Mohamed b. Mohd Ali lwn Roslina bt. Mohd Yusoff, perkataan “saya rela cerai engkau” yang diulang sebanyak tiga kalioleh pihak suami telah menjadi isu perundangan dan menimbulkan pertikaian. Kes ini adalah kes rayuan yang dibuat oleh suami atas pensabitan talaq tiga oleh Mahkamah Rendah. Bagaimanapun, semasa prosiding kes rayuan berjalan, Mahkamah Rayuan telah mempersoalkan lafaz cerai yang telah dilafazkan oleh suami dan memutuskan bahawa lafaz tersebut adalah kinayah yang memerlukan niat. Oleh sebab Perayu telah menjelaskan bahawa dia tidak berniat mentalaqkan isterinya, maka lafaz tersebut tidak sabit dan perkahwinan mereka masih wujud. Yang menarik dalam kes ini ialah penggunaan perkataan “cerai” yang pada pandangan Mahkamah tidak semestinya bermakna talaq dan perkataan “rela” menambah lagi keraguan terhadap jatuhnya talaq tersebut.
Dalam kes Muhamad Ridzuan Bin Abd Latif lwn. Zaanariah Binti Mat Isa (JH 2015), Perayu telah tidak berpuas hati terhadap keputusan Mahkamah Rendah Syariah apabila mensabitkan lafaz cerai yang dibuat di luar dan tanpa kebenaran Mahkamah oleh Perayu melalui lafaz jawapannya adalah sabit perceraian dan telah gugur talaq tiga sekaligus (talaq baik kubra) ke atas Responden. Walau bagaimanapun, Rayuan Perayu tersebut telah ditolak dan Mahkamah Rayuan telah mengekalkan keputusan Mahkamah Rendah Syariah tersebut. Dalam kes ini, Perayu telah ditanya oleh isteri kepada abangnya “Wan isteri hang mana”, dan Perayu kemudiannya menjawab “saya cerai talaq tiga”.
Meskipun saksi yang dikemukakan di dalam kes ini menjelaskan sikap Perayu yang suka melawak dan suka cakap lepas, Mahkamah telah mengambil kira rukun-rukun talaq yang telahpun dipenuhi oleh Perayu dan dakwaan sikap Perayu tersebut tidak boleh diterima kerana perceraian terangkum dalam kategori perkara yang sensitif. Sama ada bersungguh-sungguh atau berlawak ia tetap dikira bersungguh-sungguh. Ia dinyatakan di dalam hadis Rasulullah saw yang menyebut:
“Tiga perkara yang sesungguhnnya menjadi sungguh dan olok-olok menjadi sungguh. Nikah, cerai, rujuk”
Berdasarkan contoh kes di atas, adalah jelas bahawa lafaz cerai atau talaq sama sekali tidak boleh dijadikan gurauan. Lafaz talaq yang dibuat oleh seseorang diluar Mahkamah adalah amat perlu untuk disahkan semula di Mahkamah Syariah tidak kira lafaz tersebut berbentuk jelas atau kiasan kerana sekalipun ia jelas, boleh jadi talaq tidak jatuh jika dinilai dalam konteks keseluruhan lafaz yang dibuat.