• Utama
  • Tentang Kami
  • Servis
  • Artikel
  • Hubungi kami
  • Utama
  • Tentang Kami
  • Servis
  • Artikel
  • Hubungi kami
  • By: pedangmujahid
  • Comments (0)
  • March 3, 2023

Mut’ah telah didefinsikan di dalam subseksyen 2(1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 sebagai bayaran saguhati yang diberi dari segi Hukum Syarak kepada isteri yang diceraikan. Secara ringkasnya, mut’ah adalah pemberian daripada bekas suami kepada bekas isteri setelah berlakunya perceraian yang mana ianya berlaku bukan disebabkan kesalahan oleh pihak isteri. Mut’ah boleh diberi sama ada dalam bentuk wang ataupun barang. 

Jumhur ulama menyatakan bahawa hukum asal mut’ah ialah sunat iaitu suatu amalan yang digalakkan terhadap suami yang telah menceraikan isterinya. Alasan pendapat ini disandarkan kepada surah al-Baqarah ayat 236 yang bermaksud:

“Tidak ada kewajipan membayar (mahar) atas kamu, jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu bercampur dengan mereka dan sebelum kamu menentukan maharnya dan hendaklah kamu berikan suatu mut’ah (pemberian) kepada mereka, orang yang mampu menurut kemampuannya dan orang yang miskin menurut kemampuannya (pula), iaitu pemberian menurut yang patut, yang demikian itu merupakan ketentuan bagi orang-orang yang berbuat kebajikan”.

Ayat di atas diturunkan disebabkan oleh satu peristiwa di mana seorang lelaki telah mengahwini seorang perempuan, tetapi ketika berlangsungnya akad perkahwinan, mas kahwin tidak ditentukan. Oleh kerana mereka telah bercerai sebelum berlakunya persetubuhan, maka lelaki tersebut telah diperintahkan untuk memberi mut’ah al-talaq kepada isterinya itu tanpa perlu diberikan mas kahwin. Peristiwa ini diceritakan oleh Bashar al-Mu’adz yang dinukilkan daripada Yazid oleh Sa’id dan Qatadah. Berikutan daripada itu, Rasulullah S.A.W bersabda kepada lelaki tersebut:

“Berilah mut’ah al-talaq kepada isterimu walaupun dengan songkokmu itu”.

Dalam kitab Kifayatul Akhyar dalam bab mut’ah telah dihuraikan bahawa mut’ah diberi bertujuan menutup rasa malu yang dialami oleh isteri, menghindarkan fitnah dan sebagai asas untuk memulakan hidupnya bersendirian. Seorang isteri yang lazimnya bergantung hidup kepada suami akan menghadapi kepayahan untuk memulakan kehidupan baru secara bersendirian. Ia juga untuk menghilangkan prasangka buruk bahawa seorang itu diceraikan bukanlah kerana keaiban yang ada pada dirinya, maka sebab itulah mut’ah diwajibkan ke atas suami. Selain itu, mut’ah turut diberi sebagai tanda penghargaan daripada bekas suami atas sumbangan dan peranan isteri sepanjang perkahwinan mereka.

UNDANG-UNDANG AMALAN MUT’AH DI MALAYSIA

Selari dengan tuntutan syarak, seksyen 58 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 telah memperuntukkan undang-undang mengenai hak mut’ah isteri yang telah diceraikan tanpa sebab yang patut.

Seksyen 58. Mut’ah atau pemberian saguhati kepada perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut

Selain daripada haknya untuk memohon nafkah, seseorang perempuan yang telah diceraikan tanpa sebab yang patut oleh suaminya boleh memohon mut’ah atau pemberian saguhati kepada Mahkamah, dan Mahkamah boleh, selepas mendengar pihak-pihak itu dan apabila berpuas hati bahawa perempuan itu telah diceraikan tanpa sebab yang patut, memerintahkan suami membayar sejumlah wang yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak.

Tafsiran frasa ‘tanpa sebab yang patut’ telah diperincikan dalam kes Sapiee bin Muda lwn Adnan Hawa bt Mohamad dimana Hakim telah merujuk kepada kitab Mughni Muhtaj dan telah menggariskan syarat atau situasi yang melayakkan seorang isteri dalam menuntut mut’ah; antaranya ialah jika pasangan bercerai dengan sebab kematian, maka suami tidak diwajibkan untuk membayar mut’ah. Jika penceraian itu berpunca daripada suami, maka wajib bagi seorang suami untuk membayar mut’ah. Suami juga wajib membayar mut’ah dalam situasi dimana pihak-pihak bercerai secara talaq, li’an atau fasakh disebabkan aib suami sebelum akad nikah. Sekiranya perceraian itu berpunca daripada isteri semata-mata contohnya seperti isteri diisytiharkan nusyuz oleh Mahkamah atau isteri telah murtad, maka suami tidak diwajibkan untuk membayar mut’ah terhadap isterinya. Jika isteri memfasakhkan nikah oleh kerana suaminya miskin papa atau suaminya telah mati pucuk, maka gugurlah hak isteri untuk mendapatkan mut’ah.

Amaun atau kadar mut’ah yang patut diberi oleh suami kepada isterinya boleh ditentukan melalui persetujuan kedua-dua belah pihak. Sekiranya terdapat pertikaian, kadar tersebut akan ditentukan oleh Mahkamah Syariah. Tidak terdapat suatu panduan tertentu yang boleh dijadikan formula tetap untuk menentukan kadar pemberian mut’ah. Namun begitu, terdapat prinsip umum yang menyatakan bahawa sesuatu pemberian hendaklah diasaskan kepada kemampuan suami, status pasangan, tempoh perkahwinan dan pengorbanan isteri sepanjang berada dalam perkahwinan.

Dalam kes Syed Bulat lwn Intan, Responden telah diceraikan dan menuntut mut’ah. Dalam kes ini, Perayu mengatakan bahawa dia terpaksa menceraikan Responden kerana beliau sentiasa meminta cerai sehingga terganggu kesihatannya dan dia tidak dapat berbuat ibadah dengan sempurna. Sebaliknya, Responden mengatakan bahawa dia telah diceraikan kerana perselisihan yang berlaku disebabkan oleh Perayu yang memaksanya meminjamkan wang syarikat untuk kegunaan Perayu sendiri. Mahkamah telah menimbangkan bukti-bukti yang telah dikemukakan oleh kedua-dua pihak serta alasan-alasan mereka dan mendapati bahawa keterangan yang dikemukakan oleh Perayu di dalam perkara ini dan alasan-alasanya adalah tidak munasabah. Sebaliknya Mahkamah dapati bahawa keterangan Responden adalah munasabaha dan boleh dipercayai. Kadi memutuskan setelah menimbangkan pendapatan Perayu sebanyak RM335 sebulan dan Responden berpendapatan RM500 sebulan, maka mut’ah yang dibenarkan adalah sebanyak RM300.

Dalam kes lain Ismail lwn Norsiah, Responden telah membuat tuntutan nafkah dan mut’ah. Kadi Besar telah memutuskan agar suami membayar RM300 sebagai mut’ah dan suami telah merayu kepada Mahkamah Rayuan Syariah. Rayuan tersebut telah ditolak. Mahkamah menghujahkan bahawa Perayu adalah seorang pekerja yang berpendapatan sederhana dan Responden pula adalah seorang yang bertaraf dalam masyarakat. Oleh itu, Mahkamah berpendapat bahawa kadar mut’ah yang patut dibayar oleh Perayu adalah lebih daripada kadar yang telah diputuskan oleh Hakim dalam perbicaraan terdahulu. Namun, Mahkamah Ulangbicara enggan mengubah hukuman itu dan menetapkan kadar mut’ah sebanyak RM300 dan nilai tersebut hendaklah dibayar sepenuhnya dalam tempoh 14 hari dari tarikh hukuman.

Kesimpulannya, isteri yang ingin mengemukakan tuntutan mut’ah perlu mengemukakan saksi-saksi serta bukti-bukti yang boleh menyokong tuntutan mut’ah tersebut bagi meyakinkan Mahkamah terhadap kelayakannya menerima mut’ah dan kepatutan amaun mut’ah yang dituntut daripada suami tersebut.

Recent Posts

  • Perceraian Secara Fasakh: Satu Pengenalan
  • Hak Penjagaan Anak Selepas Perceraian
  • Hutang Perkahwinan dalam Konteks Perundangan di Malaysia
  • Mut’ah: Satu Pengenalan
  • Pengesahan Penceraian yang Berlaku di Luar Mahkamah

Recent Comments

No comments to show.

Archives

  • November 2024
  • March 2023
  • April 2022

Categories

  • Artikel

Tetuan Mostadza Fahmi Hafiz & Associates

WhatsApp Hubungi Kami

No 42-2-2A Jalan Medan PB 2B, Seksyen 9, Pusat Bandar Baru Bangi, 43650 Selangor Darul Ehsan

+60192874482

mfhshariah@gmail.com

Waktu pejabat 8.45 pagi - 5.45 ptg (Isnin-Jumaat)