Hutang perkahwinan merujuk kepada apa-apa hutang yang timbul selepas pihak-pihak menjadi suami isteri contohnya seperti hutang mas kahwin, hutang pinjaman untuk modal berniaga dan lain-lain. Mana-mana pihak dalam perkahwinan yang terpaksa menanggung kerugian atau beban akibat daripada kegagalan menjelaskan hutang tersebut boleh membuat tuntutan hutang perkahwinan ini. Islam telah menekankan konsep berhutang menerusi Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 282:
“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar) dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya. Oleh itu, hendaklah ia menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan (isi surat hutang itu dengan jelas). Dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah Tuhannya, dan janganlah ia mengurangkan sesuatu pun dari hutang itu. Kemudian jika orang yang berhutang itu bodoh atau lemah atau ia sendiri tidak dapat hendak merencanakan (isi itu), maka hendaklah direncanakan oleh walinya dengan adil benar, dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu. Kemudian kalau tidak ada dua orang saksi lelaki, maka bolehlah seorang lelaki dan dua orang perempuan dari orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi, supaya jika yang seorang lupa dari saksi-saksi perempuan yang berdua itu maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi. Dan jangan saksi-saksi itu enggan apabila dipanggil menjadi saksi”.
Hal ini dikuatkan lagi dengan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Salmah bin al-Akwa, maksudnya:
“Bahawa Nabi SAW dibawa kepadanya jenazah untuk Baginda mengimamkan solat jenazah tersebut, maka Baginda SAW bersabda: Adakah dia ini menanggung hutang, Mereka menjawab: Tidak. Lalu Baginda pun solat ke atas jenazah tersebut. Kemudian didatangkan jenazah yang lain, Baginda SAW bersabda: Adakah dia ini menanggung hutang, Mereka menjawab: Ya. Nabi SAW (menolak untuk mengimamkan jenazah tersebut) solatlah kamu ke atas sahabat kamu”.
Secara asasnya, tiada peruntukan khusus mengenai bidangkuasa mahkamah syariah dalam membicarakan isu mengenai hutang piutang. Akan tetapi, subseksyen 61(3)(b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 menjelaskan bahawa Mahkamah Syariah boleh membicarakan apa-apa pelupusan atau tuntutan harta yang berbangkit dalam perkahwinan.
Seksyen 61. Bidangkuasa Mahkamah Tinggi Syariah
(3) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah—
(a) …
(b) dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan atau prosiding itu adalah orang Islam dan tindakan atau prosiding itu adalah berhubungan dengan—
- pertunangan, perkahwinan, ruju’, perceraian, pembubaran perkahwinan (fasakh), nusyuz, atau pemisahan kehakiman (faraq) atau apa-apa perkara yang berkaitan dengan perhubungan antara suami isteri;
- apa-apa pelupusan atau tuntutan harta yang berbangkit daripada mana-mana perkara yang dinyatakan dalam subperenggan (i);
Mengenai had waktu membuat tuntutan pula, tiada peruntukan khas dalam undang-undang keluarga Islam di Malaysia yang menyebut secara spesifik bila hutang perkahwinan ini boleh dituntut sama ada sebelum atau selepas perceraian. Selain itu, Mahkamah Syariah dan hukum syarak juga tidak memperuntukkan had masa bagi tuntutan hutang perkahwinan. Walaupun hutang tersebut telah lama berlaku, pihak yang dikhianati boleh sahaja menuntut hutang tersebut daripada pihak satu lagi.
Dalam kes Moriazi Mohamad lwn Ajmawati Attan, Mahkamah Rayuan Syariah Selangor memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi Syariah mempunyai bidangkuasa membicarakan tuntutan hutang piutang walaupun di sana tiada peruntukan khusus mengenainya. Tuntutan hutang piutang itu terbit daripada perkahwinan mereka, disebabkan mereka berkahwin, maka berlakulah transaksi antara mereka termasuk berniaga, pinjam meminjam modal dan sebagainya. Oleh kerana peruntukan khas tidak wujud dalam mana-mana undang-undang bertulis, maka mahkamah merujuk kepada hukum syarak. Enakmen Tatacara Mal (Mahkamah Syariah) Selangor 2003 menjelaskan dalam seksyen 245(2) bahawa jika wujud lacuna (lompong) atau jika apa-apa perkara tidak diperuntukkan dengan nyata oleh enakmen ini, mahkamah hendaklah memakai hukum syarak.
Dalam kes Rohaini binti Hassan lwn Julrizal bin Ahmad Bashah, Plaintif membuat tiga tuntutan iaitu mengenai nafkah iddah, mut’ah dan hutang. Jumlah hutang perkahwinan yang dituntut adalah sebanyak RM10,410 terdiri daripada pinjaman bank rakyat, duit kedai (bengkel), duit kedai hardware, duit deposit belajar di Sg Chua, tukar kusyen kereta, tambah beli kereta (USA), hutang kad kredit, mesin basuh dan hutang rakan bernama Ismayuddin. Daripada 9 tuntutan hutang tersebut, Defendan hanya mengakui tiga daripadanya iaitu hutang duit kedai (bengkel) RM2,000, hutang kad kredit RM500, hutang rakan bernama Ismayuddin RM460 dan hutang tukar kusyen kereta RM200. Defendan juga telah bersumpah menafikan tuntutan hutang lain yang dibuat oleh Plaintif. Mahkamah mengarahkan Defendan membayar hutang perkahwinan sebanyak RM3,160 kepada Plaintif.
Dalam kes MAA lwn SZAA mengenai tuntutan hutang perkahwinan, Perayu dan Responden telah berkahwin pada tahun 2004 dan bercerai pada tahun 2012. Responden telah membuat tuntutan hutang perkahwinan dan mendakwa telah memohon pinjaman peribadi daripada Bank Rakyat sebanyak RM80,000 untuk melangsaikan hutang-hutang peribadi Perayu seperti pinjaman kad kredit, pinjaman kereta Waja dan menebus kembali barang kemas ibu Responden yang telah digadai oleh Perayu. Responden telah membuat pinjaman bagi tempoh bayaran selama 15 tahun. Pihak-pihak telah bersetuju membayar ansuran bulanan pinjaman tersebut dengan kadar sama banyak iaitu RM384 seorang. Hakim Mahkamah Tinggi (Rayuan) memerintahkan Perayu membayar hutang dalam tempoh perkahwinan kepada Responden sebanyak RM67,584. Perayu tidak berpuashati dengan keputusan ini telah memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan. Rayuan tersebut ditolak dan Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi (Rayuan).
Sebagai kesimpulan, beban membuktikan kewujudan hutang tersebut terletak pada pihak yang mendakwa adanya hutang itu. Pihak tersebut mestilah mengemukakan bukti-bukti dan saksi-saksi terhadap item hutang yang dituntut bagi menyokong keterangan sekaligus membuktikan yang hutang tersebut benar-benar berlaku disebabkan perkahwinan pihak-pihak.