• Utama
  • Tentang Kami
  • Servis
  • Artikel
  • Hubungi kami
  • Utama
  • Tentang Kami
  • Servis
  • Artikel
  • Hubungi kami
  • By: pedangmujahid
  • Comments (0)
  • April 17, 2022

Hibah merupakan perkataan Arab yang berasal daripada kata kerja wahaba yang bermaksud sumbangan. Ia merupakan suatu pemberian tanpa balasan yang memberi kebaikan dan kelebihan kepada penerima hibah sama ada yang diberi itu berupa harta atau bukan harta. Dari segi syarak, hibah bermaksud pemberian milik sesuatu tanpa balasan.

Para fuqaha mempunyai pelbagai definisi hibah antaranya menurut mazhab Hanafi, ia adalah pemberian milik ‘ain harta tanpa balasan. Mazhab Maliki mendefinisikan hibah sebagai pemberian milik ketika hidup tanpa balasan. Mazhab Syafie pula berpendapat hibah adalah pembelian milik ‘ain harta tanpa belasan ketika hidup secara suka rela. Manakala mazhad Hanbali pula mendefinisikan hibah sebagai pemberian milik suatu harta ketika hidup tanpa balasan secara sumbangan oleh orang yang boleh menguruskan hartanya dengan memberi milik hartanya yang diketahui atau tidak diketahui.

Hibah telah disyariatkan oleh Allah swt melalui al-Quran, al-Sunnah, ijmak ulama dan logik akal. Antaranya di dalam Surah al-Baqarah ayat 177, Allah swt berfirman:

وَءَاتَى ٱلۡمَالَ عَلَىٰ حُبِّهِۦ ذَوِی ٱلۡقُرۡبَىٰ وَٱلۡیَتَـٰمَىٰ وَٱلۡمَسَـٰكِینَ وَٱبۡنَ ٱلسَّبِیلِ وَٱلسَّاۤىِٕلِینَ

“Menderma seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, – kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta”

Nabi saw juga pernah bersabda yang bermaksud : “saling memberi hadiahlah kamu, nescaya kamu akan saling menyayangi”. [HR al-Baihaqi] Nabi saw menggalakkan umatnya saling memberi hadiah atau memberi hibah untuk mengeratkan lagi hubungan dan ikatan ukhuwah antara satu sama lain kerana ia merupakan salah satu sebab yang memberi kesan kepada perasaan berkasih sayang.

Rukun dan Syarat Hibah

Hibah mempunyai empat rukun dan setiap rukun pula mempunyai syarat-syaratnya yang tersendiri seperti berikut:

  1. Rukun pertama : Pemberi Hibah (al-wahib)

Bagi rukun pertama, Jumhur fuqaha mensyaratkan bahawa pemberi hibah mestilah memenuhi dua (2) syarat bagi memastikan akad hibah adalah sah iaitu; pertama, pemberi hibah berkeahlian untuk menyumbang. Berkeahlian di sini membawa maksud berakal, baligh dan tidak dihalang daripada mengurus harta. Antara orang yang tidak berkeahlian termasuklah kanak-kanak, seorang pemegang amanah bagi harta orang lain dan juga seorang yang muflis. Syarat kedua pula adalah pemberi hibah tidak dipaksa melakukan hibah.

  1. Rukun kedua : Penerima Hibah (al-mawhub lah)

Bagi rukun kedua, syarat-syarat yang ditetapkan oleh fuqaha juga ada dua. Syarat yang pertama adalah penerima hibah berkeahlian untuk memiliki. Bermaksud, hibah boleh diterima oleh semua manusia yang dilahirkan sama ada mukallaf atau bukan mukallaf. Bagi kanak-kanak, orang gila ataupun orang yang kurang akalnya, penerimaan dan pengambilan milikan harta yang yang dihibah hendaklah dilakukan oleh walinya ataupun penjaganya yang sah di sisi undang-undang. Syarat yang kedua pula, penerima hibah mestilah wujud secara hakiki. Hibah kepada janin tidak sah kerana janin tidak mempunyai kuasa untuk menentukan hak miliknya.

  1. Rukun ketiga : Harta yang dihibahkan (al-mawhub bih)

Syarat bagi rukun ketiga iaitu harta yang dihibahkan pula ada empat. Pertama, harta tersebut mestilah wujud dan diketahui oleh orang yang berakad ketika hibah dibuat. Kedua, harta yang dihibahkan mestilah bernilai menurut syarak. Ketiga, harta yang dihibahkan hendaklah merupakan milik penuh pemberi hibah. Keempat, harta yang dihibahkan mestilah boleh diserahkan kepada penerima hibah. Tidak boleh menghibahkan binatang yang telah terlepas atau harta yang telah hilang. 

  1. Rukun keempat : Sighah (Ijab dan qabul)

Ijab dalam hibah ialah lafaz pemberian hibah daripada penghibah kepada penerima hibah dan qabul ialah lafaz penerimaan hibah daripada penerima. Menurut jumhur fuqaha, aqad hibah sekiranya memenuhi tiga syarat iaitu; (1) penawaran dan penerimaan mestilah berkesinambungan iaitu ada persambungan dan persamaan antara ijab dan qabul; (2) tidak dikenakan syarat-syarat tertentu yang boleh menafikan hakikat hibah itu sendiri; dan (3) tidak disertakan syarat tempoh masa tertentu.

Qabd Dalam Hibah

Qabd bermaksud mengambil sesuatu dengan tangan secara langsung atau menggenggam sesuatu. Dari segi istilah pula bermaksud penerimaan yang membolehkan penerima hibah berurusan dengan harta yang diterima. Para fuqaha berselisih pandangan tentang keperluan qabd dalam akad hibah sama ada ia merupakan syarat dalam akad ataupun sebaliknya. Dalam mazhab Syafie, qabd dianggap sebagai syarat sah hibah. Akad hibah tidak berkuatkuasa hanya dengan ijab dan qabul sahaja tanpa qabd. 

Bagaimanapun, menurut jumhur ulama, qabd sah sekiranya memenuhi syarat-syarat berikut:

  1. Mendapat keizinan dan kebenaran pemberi hibah. Pemberi hibah mempunyai pilihan sebelum barang yang dihibahkan itu diqabd sama ada mengizinkannya untuk diqadb atau menarik balik hibah dan menghalangnya daripada diqabd oleh penerima hibah. Mazhab Syafie mensyaratkan keizinan yang diberikan hendaklah secara jelas atau pemberi hibah sendiri menyerahkan dengan tangannya kepada penerima.
  1. Harta yang dihibah tidak bercampur atau tidak berkait dengan harta lain yang tidak dihibahkan. ini kerana, qabd bermaksud membolehkan penerima hibah bertasarruf dengan harta yang dihibah tanpa ada sesuatu yang boleh menghalangnya.
  1. Penerima hibah berkeahlian untuk menerima milik harta iaitu baligh dan berakal. Oleh itu, tidak sah qabd daripada seseorang yang gila atau kurang akalnya dan daripada kanak-kanak yang belum baligh walaupun telah mumayyiz menurut jumhur fuqaha kecuali mazhab Hanafi. 

Pengesahan Hibah di Mahkamah Syariah

Dalam tuntutan pengesahan hibah yang dibuat di Mahkamah Syariah, perkara yang paling utama yang akan dinilai oleh Hakim adalah sama ada hibah yang dibuat tersebut telah memenuhi rukun-rukun dan syarat-syarat hibah sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini. Apabila rukun dan syarat hibah telah dipenuhi, Mahkamah Syariah kemudiannya akan menilai sama ada al-qabd telah berlaku atau belum kerana tanpanya, hibah yang dibuat berkemungkinan tidak dapat disahkan oleh Mahkamah. Dalam satu kes pengesahan hibah di Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Yang Arif Hakim telah mengulas berkenaan al-qabd seperti berikut:

“[33] Namun Hukum Syarak menjelaskan walaupun telah berlaku ijab dan qabul secara sempurna di dalam sesuatu hibah, pemilikan barang yang dihibahkan masih belum boleh dimiliki oleh penerima hibah kecuali berlakunya qabad (barang itu diserah atau diambil atau dipegang oleh penerima hibah).

[34] Takrifan qabad dalam kitab Akad al-bai’e fil Fiqh Islami, muka surat 195 oleh Dr. Sayyid Ahmad A’mir diberi maksud mencapai sesuatu dengan bentuk pembekuan barang tersebut dan mengambil harta serta menguasainya dengan cara yang dibenarkan oleh syarak.

[35] Kitab I’aanah al-Thalibin, bab fi al-Hibah, terbitan Dar al-Kitab al- Alamiyyah muka surat 254, Juz 3 menyatakan:

Maksud: (Dengan qabd) maka tidak berlaku sesuatu akad itu bahkan hendaklah dengan adanya qabd, demikia menurut qawl jadid.

[36] Dalam erti kata lain, qabd berlaku apabila harta dikuasai dengan cara yang sepatutnya oleh penerima. Dan cara penguasaan itu, bagi harta tak alih, adalah dengan cara takhliah, iaitu pemberi mengosongkan harta yang diberi agar  boleh dimanfaatkan oleh penerima, melepaskan haknya (memberi keizinan) atau mengenepikan segala halangan semasa penyerahannya atau dengan penyerahan kunci jika barangan tersebut seperti rumah, atau bercucuk tanam, mengutip buahan atau membuat binaan jika dihibahkan tanah. Bagi harta alih pula, qabd berlaku dengan cara mengambil harta itu, memindahkan atau mengasingkan harta tersebut dengan harta-harta lain. Lihat kitab al-Fiqh Manhaji, jilid 3 muka surat 16 oleh Dr, Mustofa al-Khin dan lain-lain; DAN kitab al-Muamalat al-Maliyah al-Mua’sirah oleh Dr, Wahbah Zuhaily, terbitan Darul Fikri, Beirut, cetakan 1 tahun 2002M, muka surat 40.

[37] …..

[38] Saya dapati setelah hibah diberikan secara lisan, Plaintif telah bertindak berjumpa Peguam Syarie untuk membuat perjanjian hibah tersebut. Namun selepas pemberian tersebut Plaintif ada membuat rumah di atas hartanah tersebut dan telah membaik pulih rumah tersebut dan kemudiannya disewakan kepada penyewa.

[39] Malah Defendan-Defendan juga tidak ada menghalang apa-apa perbuatam Plaintif selepas pemberian hibah tersebut oleh Si Mati. Malah hubungan Plaintif dan Defendan-Defendan adalah dalam keadaan baik. ……, Qabd dalam kes ini juga berlaku tersebut Plaintif ada membuat rumah di atas hartanah tersebut dan membaik pulih rumah tersebut dan kemudiannya disewakan kepada penyewa tanpa ada halangan daripada mana-mana pihak. Maka saya berpuas hati telah berlaku qabad oleh Plaintif ke atas hartanah tersebut selepas pemberian hibah tersebut.

Dalam kes di atas, Yang Arif Hakim telah meluluskan permohonan Plaintif, memutuskan bahawa hibah yang dibuat tersebut adalah sah dan hartanah tersebut diterima sebagai satu pemberian hibah oleh Si Mati kepada Plaintif.

Tags:
  • hibah
  • pengurusan harta

Recent Posts

  • Perceraian Secara Fasakh: Satu Pengenalan
  • Hak Penjagaan Anak Selepas Perceraian
  • Hutang Perkahwinan dalam Konteks Perundangan di Malaysia
  • Mut’ah: Satu Pengenalan
  • Pengesahan Penceraian yang Berlaku di Luar Mahkamah

Recent Comments

No comments to show.

Archives

  • November 2024
  • March 2023
  • April 2022

Categories

  • Artikel

Tetuan Mostadza Fahmi Hafiz & Associates

WhatsApp Hubungi Kami

No 42-2-2A Jalan Medan PB 2B, Seksyen 9, Pusat Bandar Baru Bangi, 43650 Selangor Darul Ehsan

+60192874482

mfhshariah@gmail.com

Waktu pejabat 8.45 pagi - 5.45 ptg (Isnin-Jumaat)