Mengikut tafsiran di dalam subseksyen 2(1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, harta sepencarian adalah harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak. Tuntutan untuk mendapatkan sebahagian daripada harta sepencarian di Malaysia pada mulanya adalah berpandukan kepada adat masyarakat Melayu iaitu adat Temenggung dan adat Perpatih.
Pada dasarnya, tidak terdapat dalil khusus dalam Al-Quran atau al-Sunnah yang menerangkan tentang kedudukan harta sepencarian dalam Islam. Namun begitu, pensyariatan amalan ini adalah berpandukan kepada kaedah fiqh iaitu al Adat Muhakkamah. Adat yang juga dikenali dengan ‘urf telah ditakrifkan oleh jumhur fuqaha’ sebagai “sesuatu yang telah menjadi kebiasaan oleh manusia dan mematuhinya dalam urusan kehidupan seharian sehingga sebati dengan mereka dan menjadi satu perkara yang lumrah, sama ada ‘urf itu qauli atau amali, am atau khas, sahih atau fasid”.
Imam al-Sayuti di dalam kitabnya al-Asybah wa al-Nazair fi al-Qawaid wa al-Furu telah menjelaskan bahawa: “Adat resam sesuatu bangsa atau kaum yang tidak bertentangan dengan Islam adalah boleh diterima pakai sebagai sebahagian daripada peraturan hidup dan perundangan bagi sesebuah negara”. Berdasarkan kepada dua pendapat di atas, dapat dilihat bahawa Islam telah mengiktiraf adat sama ada secara khusus atau umum yang mana ianya menjadi salah satu sumber hukum syarak. Sesuatu adat itu juga boleh diterima apabila sudah menjadi satu kelaziman sesuatu kaum atau kebiasannya sedemikian.
Oleh itu, walaupun tidak ada perbahasan secara mendalam berkaitan persoalan harta sepencarian ini di dalam kitab-kitab fiqh, namun dapat difahami melalui al-Adat Muhakkamah ini bahawa berdasarkan pemakaian hukum adat yang diterima dalam perundangan Islam, adalah wajar jika harta sepencarian juga termasuk dalam kategori undang-undang Islam.
AMALAN HARTA SEPENCARIAN DALAM UNDANG-UNDANG MALAYSIA
Di dalam kes Masyyura binti Mohd Takia lwn Mohd Harzami bin Abdul Kudus, Panel Hakim Mahkamah Rayuan telah membuat ulasan mengenai peruntukan harta sepencarian iaitu seksyen 122 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
“Apabila Mahkamah mengisytiharkan harta sepencarian di bawah sekyen 2, Mahkamah akan menentukan sama ada harta sepencarian itu diperolehi secara usaha bersama atau secara usaha tunggal. Mahkamah tidak boleh menentukan harta sepencarian itu diperolehi secara kedua-dua cara. Mahkamah hanya boleh menentukan perolehan harta itu melalui salah satu daripada cara di atas sahaja.
Jika harta tersebut diperolehi dengan usaha bersama, maka pembahagian hendaklah diberikan secara sama rata sekiranya pihak-pihak tidak membuktikan takat sumbangan masing-masing. Jika takat sumbangan tersebut dibuktikan, Mahkamah hendaklah membahagikan bahagian kadar harta sepencarian mengikut takat sumbangan masing-masing berdasarkan subseksyen 112(a).
Bagi aset yang diperolehi dengan usaha tunggal satu pihak sahaja, Mahkamah akan mengambilkira takat sumbangan secara tidak langsung yang telah dibuat oleh pihak yang tidak memperolehi aset itu, kepada kebajikan keluarga dengan memelihara rumahtangga atau menjaga keluarga. Pertimbangan sumbangan secara tidak langsung hanya timbul apabila hanya usaha tunggal sahaja untuk memperolehi harta tersebut”.
Secara ringkasnya, Mahkamah pada permulaannya akan menentukan sama ada harta sepencarian yang dituntut itu datang daripada hasil usaha bersama pihak-pihak atau usaha tunggal salah satu pihak sahaja. Jika ianya usaha bersama, Mahkamah hanya akan mengambilkira sumbangan langsung atau takat sumbangan wang yang dikeluarkan oleh pihak-pihak dalam membahagikan kadar harta sepencarian tersebut. Manakala, jika harta tersebut adalah atas usaha tunggal satu pihak sahaja, maka Mahkamah akan melihat kepada sumbangan tidak langsung yang dibuat oleh pihak yang tidak mengeluarkan wang ke atas harta tersebut.
Sumbangan secara langsung yang dimaksudkan di atas adalah pihak-pihak kepada perkahwinan itu telah sama-sama memberikan sumbangan mereka dalam memperoleh aset dan harta berkenaan. Sebagai contohnya, pasangan suami isteri mempunyai kerjaya masing-masing, telah sama-sama membeli aset dan harta berkenaan secara ansuran yang pihak suami telah membuat bayaran pendahuluan dan pihak isteri pula telah membuat bayaran ansuran bulanan. Mereka berkongsi bersama-sama dan memberi sumbangan wang, modal, dan sebagainya secara langsung dari pendapatan mereka.
Hal demikian boleh dilihat dalam kes Haji Abdul Rahim lwn Isugaton mana isteri yang telah diceraikan menuntut harta sepencarian di atas rumah di Selangor. Suami itu datang daripada Indonesia berdagang bekerja menebang hutan dalam keadaan miskin. Dia telah berkahwin dengan isteri tersebut yang merupakan seorang janda kaya kematian suami, meninggalkan kebun dan tanah termasuk sawah. Semasa perkongsian hidup suami isteri, suami itu banyak membeli harta dan kebun atas namanya sendiri. Isteri mendakwa bahawa dia ada menyumbangkan wang untuk membeli tanah yang menjadi tapak tanah rumah tersebut. Kadi Besar memutuskan tuntutan harta sepencarian separuh bahagian tanah rumah oleh isteri itu disabitkan. Oleh yang demikian diperintahkan kepada suami untuk memasukkan nama isteri separuh bahagian di atas tanah rumah tersebut.
Sumbangan tidak langsung pula bermaksud suatu sumbangan yang bukan berbentuk wang atau benda tetapi mendatangkan dan menghasilkan harta atau aset tertentu. Sumbangan ini sama ada melalui idea, dorongan, nasihat, memberi semangat, menjaga keselesaan, menimbulkan ketenteraman dan sebagainya kepada pasangan satu lagi yang berusaha secara langsung dan berjaya mendapat harta dan aset tersebut. Sebagai contohnya, pihak suami bekerja dan berpendapatan tetap bulanan telah dapat membeli beberapa aset dan harta secara bayaran ansuran manakala pihak isteri tidak bekerja tetapi memberikan sumbangan dengan menjaga keluarga, membina rumahtangga, memelihara anak-anak dan menunaikan tanggungjawab sebagai isteri.
Situasi di atas boleh dilihat dalam kes Boto lwn Jaafar dimana pihak-pihak telah berkahwin pada tahun 1966. Sebelum perkahwinan itu, isteri telah bekerja sebagai penolong di kedai kopi dan suami berniaga menjual ikan. Selepas perkahwinan itu, perniagaan suaminya telah maju dan dia telah membeli rumah dimana mereka tinggal, sekeping tanah, empat kapal tangkap ikan, dan gerai jual ikan di pasar. Perkahwinan tersebut berakhir dengan perceraian dan isteri telah munutut harta sepencarian. Hakim Besar Salleh Abbas (Malaya) telah memutuskan oleh kerana isteri itu telah menemankan suaminya dalam menjalankan perniagaan dan meninggalkan pekerjaannya selepas perkahwinan itu, semua itu boleh dikira sebagai bantuan bersama untuk perolehi harta-harta itu. Sungguhpun isteri tidak mengambil bahagian secara langsung dalam perniagaan ikan suaminya, khidmat isteri dalam menemani suaminya berniaga mendatangkan ketenangan fikiran ke atas suami yang membolehkannya menguruskan perniagaan dengan tenang dan berkesan. Hakim memutuskan harta-harta yang diperolehi semasa perkahwinan itu adalah harta sepencarian dan hendaklah dibahagikan, satu pertiga bagi isteri dan dua pertiga bagi suami. Bahagian satu pertiga itu diberi kepada isteri oleh kerana keterangan dalam kes itu menunjukkan bahawa isteri itu telah membantu dalam perniagaan suaminya secara tidak langsung sebagai teman dalam urusan menjalankan perniagaannya.
Tuntutan harta sepencarian hanya boleh dibuat oleh pihak-pihak yang berada dalam perkahwinan sahaja sama ada suami ataupun isteri ke atas harta yang diperolehi semasa masih dalam perkahwinan. Ibubapa, anak-anak atau adik beradik kepada pihak-pihak tidak boleh menuntut harta sepencarian. Dalam kes Awang lwn Shamsudin, Plaintif telah membuat tuntutan harta sepencarian ke atas hartanah di Kuala Nerus, Terengganu. Arwah Nik dan arwah Abdul Rahman telah berkahwin dan bercerai semasa hidup mereka. Plaintif merupakan anak kepada arwah Nik dan anak tiri kepada arwah Abdul Rahman, manakala Defendan merupakan anak kepada arwah Abdul Rahman. Dalam keputusannya Mahkamah menyebut, “Yang layak menuntut harta sepencarian dalam harta berkenaan ialah ibu Plaintif, arwah Nik. Oleh kerana ibu Plaintif tidak membuat tuntutan ke atas tanah yang didakwa sebagai harta sepencarian, Plaintif terus tidak berkelayakan berbuat demikian. Menurut keterangan yang dikemukakan, harta berkenaan didaftarkan atas nama Abdul Rahman di atas permintaan ibu Plaintif. Semasa hayat ibu Plaintif, arwah sendiri tidak pernah menuntut harta tersebut sebagai harta sepencarian. Oleh itu, Mahkamah tidak dapat menimbang tuntutan harta sepencarian oleh Plaintif.
Terdapat tiga keadaan dimana seseorang itu boleh mula membuat tuntutan harta sepencarian iaitu; (1) ketika pasangan telah bercerai, (2) ketika pihak suami berpoligami, dan juga (3) jika salah satu daripada pasangan telah meninggal dunia. Dalam kes Hujah Lijah bte Jamal lwn Fatimah bte Mat Diah, seorang balu menuntut setengah bahagian daripada tanah yang didaftarkan dalam daftar mukim atas nama suaminya yang telah meninggal sebagai harta sepencarian. Telah dibuktikan bahawa sebelum perkahwinannya itu, balu tersebut telah memiliki tanah yang tertentu. Suaminya tidak memiliki sebarang tanah. Setelah berkahwin, kedua-dua pasangan itu telah mengerjakan dan mengusahakan tanah balu tersebut. Pasangan tersebut telah membeli tanah yang baru menggunakan pendapatan daripada tanah balu sebelum ini, dan sekali lagi tanah itu diusahakan oleh mereka berdua. Hakim Briggs telah memberikan balu tersebut setengah bahagian daripada tanah itu sebagai harta sepencarian.
Kesimpulannya, setiap pasangan yang bercerai berhak untuk membuat apa-apa sahaja tuntutan yang berkaitan dengan harta yang telah diusahakan secara bersama ketika masih di dalam perkahwinan yang sah walaupun harta tersebut telahpun dikembangkan. Pihak yang membuat tuntutan tersebut mestilah membawa saksi-saksi atau bukti-bukti bagi menyokong tuntutannya sekaligus meyakinkan Mahkamah atas sumbangan yang dilakukan ke atas harta tersebut.