• Utama
  • Tentang Kami
  • Servis
  • Artikel
  • Hubungi kami
  • Utama
  • Tentang Kami
  • Servis
  • Artikel
  • Hubungi kami
  • By: pedangmujahid
  • Comments (0)
  • March 3, 2023

Hak penjagaan anak atau dalam bahasa arabnya disebut hadhanah bermaksud penjagaan kanak-kanak yang masih kecil dan belum berupaya untuk menguruskan dirinya sendiri, sama ada lelaki atau perempuan, sama ada dalam tempoh perkahwinan atau selepas perceraian. Secara asasnya, sama ada dalam tempoh perkahwinan atau selepas perceraian, ibu adalah orang yang paling berhak daripada orang lain bagi menjaga anak kecilnya sehingga anak kecik itu mencapai umur mumayyiz (kecerdikan) iaitu 7 tahun bagi anak lelaki dan 9 tahun bagi anak perempuan sebagaimana yang diperuntukkan di dalam undang-undang keluarga Islam di Malaysia.

Hak penjagaan anak ini telah disebut oleh Rasulullah saw melalui hadis baginda melalui Abdullah Bin ‘Amr ra ketika mana dating seorang wanita kepada Rasulullah saw lalu berkata yang maksudnya:

“Wahai Rasulullah, sesungguhnya anakku ini, perutku adalah tempatnya, putting susuku adalah tempat minumnya dan pangkuanku adalah rumahnya sedangkan ayahnya telah menceraikanku dan ingin merampasnya dariku. Lalu Rasulullah saw berkata kepadanya: Engkau lebih berhak terhadapnya selama engkau belum bernikah” (riwayat Abu Daud)

Di Malaysia, sekiranya timbul perselisihan berhubung hak penjagaan anak, Mahkamah Syariah merupakan pihak yang mempunyai autoriti dalam memutuskan hak penjagaan anak tersebut dan pertimbangan utama yang akan diberikan oleh Mahkamah Syariah ialah aspek kebajikan kanak-kanak itu. Selain faktor kebajikan, Mahkamah juga melihat kepada kemahuan ibu bapa serta kemahuan kanak-kanak bagi yang telah mencapai umur mumayyiz. Bagi Negeri Selangor, aspek pertimbangan ini dijelaskan di dalam Seksyen 87 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 yang memperuntukkan seperti berikut:

Seksyen 87. Kuasa Mahkamah membuat perintah mengenai penjagaan

  1. Untuk memutuskan dalam jagaan siapakah seseorang kanak-kanak patut diletakkan, pertimbangan yang utama ialah kebajikan kanak-kanak itu dan, tertakluk kepada pertimbangan itu, Mahkamah hendaklah memberi perhatian kepada—
  1. kemahuan-kemahuan ibu bapa kanak-kanak itu; dan
  1. kemahuan-kemahuan kanak-kanak itu, jika dia telah meningkat umur dapat menyatakan sesuatu pendapatnya sendiri.

Dalam memutuskan hak penjagaan anak, Mahkamah syariah kebiasaannya akan mengeluarkan suatu perintah yang merangkumi perintah hak penjagaan anak kepada satu pihak serta hak untuk melawat, bersama dan bermalam kepada pihak satu lagi. Dalam erti kata lain, pihak yang tidak mendapat hak untuk menjaga anak secara penuh akan tetap diberikan ruang untuk melawat, bersama dan bermalam dengan anak kerana hubungan kekeluargaan antara anak dengan ibu bapa adalah satu bentuk pertalian darah dan nasab yang saling memerlukan dan tidak boleh diputuskan dengan sewenang-wenangnya.

Dari segi hak penjagaan penuh, meskipun ibu adalah orang paling layak mendapat hak penjagaan anak terutamanya bagi anak yang masih kecil, kelayakan sebagai ibu tersebut perlu dilihat seiring dengan beberapa pertimbangan lain yang digariskan oleh undang-undang bagi memastikan kebajikan anak dapat dijaga dan dipelihara sebaiknya. Pertimbangan lain yang dimaksudkan telah dinyatakan di dalam Seksyen 83 dan Seksyen 84 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 seperti berikut:

Seksyen 83. Kelayakan-kelayakan yang perlu untuk penjagaan


Seseorang yang mempunyai hak mendidik seseorang kanak-kanak, adalah berhak menjalankan hak terhadap hadhanah jika—

  1. dia adalah seorang Islam;
  2. dia adalah sempurna akal;
  3. dia berumur yang melayakkan dia memberi kepada kanak-kanak itu jagaan dan kasih sayang yang mungkin diperlukan oleh kanak-kanak itu;
  4. dia berkelakuan baik dari segi akhlak Islamiah; dan
  5. dia tinggal di tempat di mana kanak-kanak itu tidak mungkin menghadapi apa-apa akibat buruk dari segi akhlak atau jasmani.

dan,

Seksyen 84. Bagaimana hak penjagaan hilang


Hak seseorang perempuan terhadap hadhanah adalah hilang—

  1. jika perempuan itu berkahwin dengan seseorang yang tidak mempunyai pertalian dengan kanak-kanak itu yang orang itu dilarang berkahwin dengan kanak-kanak itu, jika penjagaannya dalam hal sedemikian akan menjejaskan kebajikan kanak-kanak itu tetapi haknya untuk penjagaan akan kembali semula jika perkahwinan itu dibubarkan;
  2. jika perempuan itu berkelakuan buruk secara keterlaluan dan terbuka;
  3. jika perempuan itu menukar pemastautinannya dengan tujuan untuk mencegah bapa kanak-kanak itu dari menjalankan pengawasan yang perlu ke atas kanak-kanak itu, kecuali bahawa seseorang isteri yang bercerai boleh mengambil anaknya sendiri ke tempat lahir isteri itu;
  4. jika perempuan itu murtad;
  5. jika perempuan itu mencuaikan atau menganiaya kanak-kanak itu.

Jika diperhatikan seksyen 83 di atas, seksyen tersebut tidak menyebut secara spesifik siapakah yang dinilai tentang kelayakan, bermaksud kelayakan-kelayakan yang dinyatakan adalah dinilai terhadap kedua-dua ibu dan bapa. Sebaliknya, seksyen 84 pula menyebut secara spesifik tentang bagaimana seorang perempuan atau ibu boleh hilang kelayakan hak penjagaan anak. Justeru, timbul persoalan apakah pula perkara yang boleh menghilangkan kelayakan seorang lelaki atau bapa untuk mendapatkan hak penjagaan anak? 

Bagi menjawab persoalan tersebut, undang-undang juga telah menggariskan perkara yang boleh menghilangkan kelayakan seorang lelaki atau bapa untuk mendapat hak jagaan melalui ARAHAN AMALAN NO. 15 TAHUN 2007 bertajuk “Alasan Yang Menyebabkan Hak Jagaan Seseorang Bapa Atau Pihak Sebelah Lelaki Hilang Kelayakan” yang menyatakan seperti berikut:

“…bagaimana hak jagaan seseorang bapa atau seseorang lelaki lain boleh hilang kelayakan terhadap hadanah, antaranya ialah:-

  1. jika dia berkelakuan buruk secara keterlaluan dan terbuka;
  2. jika dia murtad;
  3. jika dia mencuaikan atau menganiaya kanak-kanak itu;
  4. jika dia menjadi tidak sempurna akal;
  5. jika dia berpenyakit kusta, sopak atau penyakit-penyakit lain yang berjangkit yang membahayakan kanak-kanak itu.  

Berdasarkan peruntukan-peruntukan di atas, dapat difahami bahawa undang-undang keluarga di Malaysia telah memberikan panduan yang jelas kepada seseorang untuk menuntut hak penjagaan anak. Bagaimanapun, isu kelayakan atau hilangnya kelayakan seseorang perlulah dibuktikan di Mahkamah dan tidak cukup dengan sekadar suatu pernyataan atau dakwaan kosong tanpa sebarang pembuktian. Pembuktian yang dimaksudkan di sini antaranya adalah melalui saksi, bukti dokumentar, rakaman video atau yang seumpamanya. Bagaimanapun, sekali lagi ditegaskan bahawa perkara utama yang diberikan perhatian oleh Mahkamah adalah kebajikan kanak-kanak itu.

Dalam kes Wan Abdul Aziz lwn Siti Aishah, fakta-fakta kes adalah seperti berikut. Ibu dan bapa dalam kes ini telah berkahwin pada tahun 1965. Pada tahun 1972, terdapat perselisihan faham antara mereka dan mereka mula tinggal berasingan dan kedua-dua anak mereka tinggal bersama bapa. Pada tahun 1973, anak pertama mereka mula tinggal dengan ibunya manakala anak yang kedua tetap tinggal bersama-sama bapa. Pada tahun 1974, pasangan ini bercerai dan ibu kanak-kanak ini telah memohon hak hadanah anak yang kedua. Mahkamah Qadi telah membenarkan permohonan ini berdasarkan fakta kes yang menunjukkan bahawa kanak-kanak itu berumur empat tahun pada waktu itu. Bapa kanak-kanak ini tidak berpuas hati dan membuat permohonan rayuan. Jemaah pengadilan telah menerima rayuan ini dan berkata:

“Menurut catatan perbicaraan kes ini ternyata Wan Anita Kartini telah mulai menetap duduknya di bawah jagaan dan pengawasan bapanya dalam pemeliharaan dan asuhan Hajjah Wan zabidah daripada masa ia berumur dua tahun tiga bulan dan setelah menetap kira-kira setahun setengah barulah dituntut oleh ibunya. Sehingga hari ini, Wan Anita Kartini telah duduk bersama Hajjah Wan Zabidah, ibu kepada bapanya lebih daripada dua tahun setengah, iaitu satu tempoh yang dipercayai menjadikan Wan Anita Kartini telah bermesraan penuh dengan neneknya Wan Zabidah. Maka dengan berdasarkan keadaan yang tersebut Jemaah Pengadilan berpendapat akan tersentuh jiwa hati Wan Anita Kartini kalau dipisahkan daripada neneknya itu”.
Oleh itu, dapatlah disimpulkan bahawa walaupun seorang ibu lebih berhak terhadap hadanah anak kecilnya, apabila hak ini bertembung dengan kepentingan dan kebajikan anak itu, maka kebajikan anak itulah yang diutamakan. 

Recent Posts

  • Perceraian Secara Fasakh: Satu Pengenalan
  • Hak Penjagaan Anak Selepas Perceraian
  • Hutang Perkahwinan dalam Konteks Perundangan di Malaysia
  • Mut’ah: Satu Pengenalan
  • Pengesahan Penceraian yang Berlaku di Luar Mahkamah

Recent Comments

No comments to show.

Archives

  • November 2024
  • March 2023
  • April 2022

Categories

  • Artikel

Tetuan Mostadza Fahmi Hafiz & Associates

WhatsApp Hubungi Kami

No 42-2-2A Jalan Medan PB 2B, Seksyen 9, Pusat Bandar Baru Bangi, 43650 Selangor Darul Ehsan

+60192874482

mfhshariah@gmail.com

Waktu pejabat 8.45 pagi - 5.45 ptg (Isnin-Jumaat)