Hukum Syarak telah menetapkan kewajipan pemberian nafkah daripada usul (bapa dan datuk ke atas) kepada furu’ (anak dan cucu ke bawah). Oleh itu, bapa bertanggungjawab memberi semua jenis nafkah kepada anak-anaknya sama ada lelaki atau perempuan. Jika mereka tidak mempunyai bapa, datuk wajib mengambil tanggungjawab itu. Begitulah seterusnya berdasarkan hubungan usul yang terdekat dengan furu’. Ketetapan ini berdasarkan nas-nas bersumberkan al-Quran dan al-Hadis. Firman Allah swt al-Talaq ayat 6 yang bermaksud:
“Kemudian jika mereka (ibu-ibu) menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya;”
Kewajipan membayar upah menyusu di dalam ayat ini menunjukkan kewajipan memberi nafkah oleh bapa kepada anak dan lebih utama perlu dilaksanakan. Dalil pensyariatan pemberian nafkah juga jelas dinyatakan melalui hadis Rasulullah saw. Hadis-hadis tersebut kebanyakannya menjelaskan dengan lebih terperinci tentang konsep nafkah dalam Islam yang telah disebutkan secara umum di dalam al-Quran.
Para fuqaha’ bersependapat menyatakan bahawa sesungguhnya nafkah kerabat daripada anak dan anak kepada anak (cucu) ditetapkan dengan kadar yang mencukupi merangkumi roti atau bahan-bahan pelengkap bagi makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal dan penyusuan jika ia sedang menyusu. Kadar tersebut mengikut kemampuan orang yang menanggung nafkah dan kebiasaan di Negara tersebut kerana ia diwajibkan berdasarkan kepada keperluan. Hal ini dinyatakan di dalam hadis Rasulullah saw kepada Hindun:
“Daripada Aishah ra berkata, bahawasanya Hindu telah berkata: Wahai Rasulullah! Abu Sufyan itu adalah seorang yang bakhil. Dia tidak memberi nafkah dengan secukupnya kepada saya dan juga anak saya kecuali apa yang saya ambil darinya tanpa pengetahuannya. Rasulullah saw bersabda: Ambillah apa yang mencukupi untukmu dan anakmu dengan kadar yang sepatutnya”
Dari aspek perundangan, peruntukan undang-undang keluarga telah memberikan panduan kepada Hakim Syarie dalam menentukan kadar nafkah kepada anak-anak. Pentaksiran kadar nafkah mestilah berasaskan kepada dua perkara utama iaitu KEMAMPUAN dan KEPERLUAN. Di dalam peruntukan Seksyen 73 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 telah memperincikan tentang keperluan anak;
Seksyen 73. Kewajipan menanggung nafkah anak
- Kecuali jika sesuatu perjanjian atau sesuatu perintah Mahkamah memperuntukkan selainnya, maka adalah menjadi kewajipan seseorang lelaki menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan seseorang lain, sama ada dengan mengadakan bagi mereka tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan dan pelajaran sebagaimana yang munasabah memandang kepada kemampuan dan taraf kehidupannya atau dengan membayar kosnya.
- Kecuali seperti tersebut di atas, adalah menjadi kewajipan seseorang yang bertanggungan di bawah Hukum Syarak, supaya menanggung nafkah atau memberi sumbangan kepada nafkah kanak-kanak jika bapa kanak-kanak itu telah mati atau tempat di mana bapanya berada tidak diketahui atau jika dan setakat mana bapanya tidak berupaya menanggung nafkah mereka.
Dalam pemerhatian terhadap kes-kes yang telah diputuskan di Mahkamah, antara bentuk nafkah yang diberi perhatian oleh Mahkamah adalah;
- Makan dan minum
Makan dan minum adalah merupakan keperluan utama dan menjadi pertimbangan hakim dalam memutuskan soal nafkah anak. Dalam kes Hasanah bt Abdullah lwn Ali b. Muda, YA Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu telah merujuk kitab al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu juzuk ke-7, halaman 825 yang bermaksud:
“Fuqaha telah sepakat bahawa kadarnya ialah menurut yang munasabah kepada kanak-kanak tersebut dan mencukupi menurut adat kebiasaan sebuah Negara. Kadar nafkah anak yang sedemikian itu dikira berdasarkan makanan, lauk pauk, minuman, pakaian, tempat tinggal dan penyusuan (jika kanak-kanak itu masih lagi menyusu)”
- Pakaian
Pakaian juga termasuk sebagai salah satu keperluan asasi yang menjadi sebahagian daripada pentafsiran nafkah anak-anak. Terdapat beberapa kes yang menyatakan keperluan nafkah kepada anak-anak termasuk keperluan pakaian, antaranya kes Hasanah bt Abdullah lwn Ali b. Muda, Sanisah bt Saad lwn Zulkifli b. Abd Ghani, Mohd Hassan b. M. Ghazali lwn. Siti Sharidza bt. Mohd Sidque dan banyak lagi kes-kes yang lain yang mengambil kira pakaian sebagai salah satu keperluan nafkah.
- Perbelanjaan persekolahan
Di dalam kes permohonan mengubah perintah nafkah antara Rohana bt. Zakaria lwn. Mokhtar b. Abdul Talib, perubahan matan apabila anak bersekolah perlu diambil kira bagi menentukan kadar nafkah anak-anak, yang mana YA Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Seremban di dalam penghakimannya telah menyatakan:
“Apabila dua orang anak defendan telah memasuki alam persekolahan, sudah tentu akan berlaku perubahan dalam perbelanjaan harian anak-anak. Ini bermakna telah wujudnya perubahan matanterhadap hal keadaan anak-anak tersebut. Keadaan ini tidak dinafikan oleh Defendan. Bermakna isu pertama ini telah diselesaikan dan Mahkamah dapati memang telah wujudnya perubahan matan kepada hal keadaan anak-anak yang memerlukan kepada perubahan dari segi jumlah perbelanjaan.”
- Perubatan
Membiayai kos perubatan anak juga telah dimasukkan sebagai salah satu keperluan yang perlu ditanggung oleh si bapa sebagaimana yang telah diperuntukan secara jelas di dalam Seksyen 73 (1) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 di atas. Di dalam kes Hafizah Indra bt. Abdullah lwn Jamaluddin bin Eusoff, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang di dalam penghakiman ada menyebut:
“Mahkamah seharusnya menerima keterangan ini kerana ibu yang menjaga anak tersebut adalah lebih arif tentang apa yang telah dibelanjakan oleh beliau dan semua orang tidak boleh menerima sekiranya perkara yang dijelaskan itu tidak munasabah. Ini disebabkan semua keperluan anak termasuk pakaian, rumah kediaman dan perubatan anak-anak tersebut”
- Perbelanjaan Hari Raya
Di peringkat awal, terdapat penghakiman yang menyatakan bahawa tuntutan wang Hari Raya digugurkan kerana bukan nafkah. Namun demikian selepas tahun 1990-an, aspek perbelanjaan hari raya telah diambil kira sebagai sebahagian daripada nafkah, antaranya di dalam kes Sri Utama Dewi Kasman lwn, Abu Bakar b. Abdullah. Di dalam kes ini, YA Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur selain memutuskan Responden membayar nafkah anak sebanyak RM300.00 sebulan, turut memerintahkan perbelanjaan hari raya anak sebanyak RM200.00 setahun mulai tahun 2005.
Kesimpulannya, dalam menentukan kadar bagi nafkah anak, Mahkamah akan melihat kepada keperluan si anak serta kemampuan si bapa. Manakala dalam menentukan bentuk nafkah pula, Mahkamah akan akan berpandukan kepada perkara yang telah diperuntukan oleh Hukum Syarak serta peruntukan undang-undang selain menyesuaikan keperluan anak dengan uruf atau amalan kebiasaan pada ketika permohonan nafkah tersebut dibuat.
Jika hanya merujuk kepada kemampuan bapa tanpa menilai keperluan anak-anak, dikhuatiri akan berlaku zalim kepada anak-anak. Begitu juga sebaliknya, jika hanya merujuk kepada keperluan anak tanpa melihat kemampuan bapa nescaya akan menyebabkan kesusahan kepada bapa kerana bapa yang perlu melaksanakannya. Oleh itu, semua aspek perlu diteliti dan dijadikan panduan supaya kadar yang ditetapkan sesuai dengan kemampuan bapa dan keperluan anak mengikut keadaan semasa.